APA ITU PENGURUSAN KEWANGAN?

Siapa yang sudah ada perancangan kewangan yang baik? Alhamdulillah, bermakna anda sudah jelas dengan keperluan kewangan masa depan anda. Anda juga boleh membuat peruntukan bagi setiap wang yang akan dikeluarkan untuk perbelanjaan seharian. Dan kita perlu tahu bahawa perancangan kewangan harus konsisten agar tiada kebocoran wang yang dialami oleh anda.

Perancangan kewangan juga merupakan suatu proses untuk mengetahui kedudukan kewangan semasa anda. Anda juga perlu memahami bagaimana untuk mencapai matlamat anda agar matlamat yang diimpikan itu menjadi kenyataan.

Walaupun anda bekerja keras untuk mendapatkan wang dan membuat tabungan simpanan sendiri untuk keluarga sekarang dan yang akan datang tetapi sebenarnya dengan hanya menabung sahaja tidak mencukupi. Anda seharusnya melaburkan wang yang disimpan itu ke dalam pilihan pelaburan yang sesuai kerana itu merupakan kunci jaminan masa depan kewangan anda. Anda perlu tahu setiap individu mempunyai keperluan yang berbeza bergantung kepada pendapatan, perbelanjaan dan risiko yang mereka hadapi.

Jadi, tidak hairan lah terdapat segelintir individu yang sudah mempunyai kewangan yang kukuh pada usia yang disasarkan. Ini kerana mereka sudah mempunyai perancangan kewangan yang baik di usia muda dan perancangan kewangan itu sentiasa diperbaiki agar tidak berlaku sebarang kerugian.

Bercerita tentang pelaburan, terdapat beberapa pilihan dalam pelaburan antaranya, pelaburan dalam saham, pelaburan emas, pelaburan hartanah, pelaburan bon, pelaburan Unit Amanah, Pelaburan Tabung Haji, Pelaburan Insurans dan banyak lagi.

Apa yang anda perlu lakukan ialah anda harus bermula dengan menetapkan matlamat anda sama ada matlamat jangka pendek, sederhana atau jangka Panjang. Matlamat ini haruslah di tulis di buku anda agar setiap kali anda membuka buku itu, anda akan Nampak matlamat yang anda ingin capai dalam hidup.

Sekiranya matlamat anda ingin mempunyai simpanan sebanyak RM1 Juta pada umur 40 tahun, anda sudah boleh membuat perancangan apa yang anda perlu lakukan dari sekarang untuk mencapai RM1 Juta pada usia 40 tahun. Merancang sahaja tanpa usaha untuk mencapai matlamat itu tidak akan menjadi kan matlamat itu tercapai. Jadi, selarikan usaha dan matlamat anda agar impian anda itu menjadi kenyataan.

Begitu juga dengan pra-perancangan perbelanjaan masa hadapan seperti perkahwinan, Pendidikan anak, persaraan dan banyak lagi yang perlu difikirkan. Pelan kewangan yang menyeluruh dapat menguruskan keperluan kewangan dalam jangka masa pendek dan juga panjang. Jadi anda harus merancang kewangan anda dengan sebaiknya.