Masuk ini dua kali dah orang tanya kepada saya soalan ini,

“Kalau nak buat hibah rumah atau kereta, boleh ke?”

Saya rasa mereka tidak tahu yang hibah ini mempunyai banyak jenis. Dan bidang saya bukan dalam hibah mutlak tetapi lebih kepada hibah bersyarat atau dikenali sebagai hibah takaful. Jadi, di entry kali ini saya ingin mengulas sedikit tentang perbezaan hibah mutlak dan hibah bersyarat untuk mengelakkan kekeliruan.

Pada awalnya, saya tak berapa tahu prosedur untuk membuat hibah rumah atau kereta ni. Jadi, apabila dah masuk dua kali orang tanya perkara yang sama, saya pun google lah cara bagaimana nak buat hibah harta seperti rumah dan sebagainya ni dan dengan siapa kita boleh berunding untuk menguruskan proses hibah tersebut.

Pertama, perkara yang perlu kita tahu jenis hibah yang menghibahkan rumah ini adalah Hibah Mutlak.

Apa itu Hibah Mutlak?

Hibah Mutlak ialah sebuah pemberian dalam bentuk harta kepada seseorang. Harta yang dimaksudkan ialah rumah, tanah, ladang dan sebagainya. Seperti yang kita ketahui bahawa hibah merupakan pemberian hadiah semasa penerima dan pemberi hibah itu masih hidup.

Jadi bagaimana prosedur untuk membuat hibah harta ni ?

Untuk membuat hibah harta ini agak rumit sedikit kerana ianya perlu dilakukan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Jika di Selangor, penghibah perlu mengisi borang yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Selangor. Kemudian, pegawai yang menguruskan bahagian harta itu akan mendaftarkan permohonan ke dalam sistem rekod hibah. Setelah itu, penghibah perlu menyediakan draf dokumen perisytiharan hibah. Apabila selesai semakan dokumen dibuat, baru lah diberi tarikh untuk temujanji dengan penghibah dan penerima hibah untuk menandatangani dokumen.

Dokumen perisytiharan tadi perlu mendapat pengesahan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kemudian, baru lah proses untuk melaksanakan hibah melalui proses pindah milik di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) atau mana-mana jabatan yang berkaitan. Dan akhir sekali setelah semua proses tadi selesai, barulah melakukan pendaftaran pindah milik serta pengesahan di Mahkamah dan penyerahan perisytiharan hibah kepada penghibah. Segala salinan dokumen perisytiharan hibah itu hendaklah di simpan dengan rapi. Sememangnya proses ini mempunyai banyak perkara yang perlu diselesaikan satu persatu.

Berbeza pula dengan hibah bersyarat.

Sebelum tu, kita baca dulu apa maksud hibah bersyarat ni…

Hibah bersyarat bermaksud apabila berlaku kematian pemegang polisi Takaful, pengagihan duit pampasan daripada syarikat pengeluar Takaful kepada waris pemegang Takaful dilakukan secara terus. Melalui hibah takaful ini, seseorang individu boleh menghibahkan hartanya kepada sesiapa sahaja, sama ada keluarga ataupun bukan. Dan hibah ini dilakukan semasa individu tersebut masih hidup.

Contoh biasa yang kita lihat dalam hibah Takaful ini ialah, apabila seorang suami berhasrat untuk menghibahkan keseluruhan manfaat Takaful nya kepada isteri, jadi isteri tadi layak mendapat manfaat tersebut selepas kematian si suami.

Apa kelebihan hibah Takaful ini?

Antara kelebihan hibah Takaful ialah:

  1. Penerima Mutlak

☂️ Apabila pemilik polisi hibah Takaful telah meninggal dunia, individu penerima hibah yang telah ditetapkan semasa pemilik hibah hidup, dia akan mendapat segala manfaatnya kerana ia merupakan hak mutlak si penerima hibah. Jadi, penerima hibah tidak perlu khuatir jika manfaat tersebut diambil oleh orang lain kerana syarikat Takaful hanya boleh memberi pampasan kepada penama hibah yang telah ditetapkan oleh pemilik polisi Takaful Hibah.

  1. Wang tunai boleh didapati dengan cepat

☂️ Kelebihan lain yang boleh kita dapat dalam Takaful hibah ini ialah waris boleh menerima wang tunai dengan cepat. Untuk pengetahuan anda semua, duit pampasan boleh didapati oleh penerima hibah dalam jangka masa tujuh hingga tiga puluh hari sahaja. Dengan proses yang cepat, jadi penerima manfaat dapat menggunakan wang tersebut untuk meneruskan hidup.

  1. Mempunyai kebebasan menukar nama penerima hibah

☂️ Hibah bersyarat atau hibah Takaful ini boleh menukar nama penerima hibah kepada orang lain pada bila-bila masa.

Sebagai contoh:

En. Azmi memiliki polisi hibah takaful. En. Azmi meletakkan nama ibunya sebagai penama hibah untuk mendapat manfaat Takaful selepas kematian En. Azmi. Akan tetapi, umur ibunya tidak panjang. Kemudian, En. Azmi bernikah dengan Pn. Siti dan En. Azmi menukar penama hibah tadi kepada isterinya.

  1. Polisi tidak dibekukan

☂️ Selepas kematian suami, ramai isteri yang tidak dapat menggunakan wang-wang yang ditinggalkan oleh suami sebaik saja kematian berlaku. Segala akaun bank akan dibekukan. Tetapi tidak untuk polisi Takaful.

Penerima yang telah disenaraikan dalam penerima hibah akan mendapat sejumlah wang yang sudah ditetapkan dalam polisi tersebut.

  1. Sebagai pengganti pendapatan

☂️ Apabila kematian ahli keluarga, pendapatan isi rumah boleh terjejas. Ahli keluarga yang dimaksudkan tidak semestinya seorang suami. Ianya boleh jadi kepada sesiapa saja yang memikul tanggungjawab. Hal ini kerana kehilangan yang tidak disangka-sangka ini tidak saja memberi kesan sedih pada hati, malah ianya turut memberi kesan kepada pendapatan sara diri dan nafkah bulanan kepada keluarga yang ditinggalkan. Boleh jadi nafkah tersebut ialah nafkah kepada ibu baoa, adik beradik dan juga pasangan.

Jadi dengan wang pampasan tadi dapat diganti sebagai pendapatan bulanan untuk mereka meneruskan kehidupan.

  1. Tiada kos guaman

☂️ Kelebihan lain hibah Takaful ini ialah tidak mempunyai apa-apa kos guaman ataupun kos-kos tersembunyi. Jadi, penerima akan menerima jumlah manfaat perlindungan takaful seperti yang sudah ditetapkan dalam polisi Takaful.

Sebagai contoh, jika polisi pemegang Takaful mempunyai nilai sebanyak RM500,000, maka sebanyak RM500,000 lah yang akan diterima oleh si waris selepas kematian pemegang Takaful tanpa perlu membayar apa-apa kos.

Kesimpulan nya, hibah Takaful mempunyai kelebihan yang boleh didapati oleh pemberi dan juga penerima hibah. Kita tak tahu bila ajal kita sampai. Jadi sebagai langkah awal, kita hendaklah bersedia dengan melakukan amalan yang baik dan tinggalkan lah sesuatu yang bermanfaat sebelum kita meninggalkan dunia ini.

Jangan dilupakan tentang perlindungan diri sendiri dan juga keluarga. Sesungguhnya malang itu tidak berbau.

Akhir sekali, bagi sesiapa yang ingin membuat hibah mutlak atau menghibahkan harta seperti rumah atau kereta dan sebagainya, anda perlu berjumpa dengan orang yang menguruskan bahagian harta pusaka.

Bagi yang ingin membuat hibah Takaful untuk ditinggalkan kepada waris anda, boleh berunding dengan ejen-ejen Takaful yang menawarkan pelan hibah. Mereka akan membantu anda untuk mendapatkan pelan hibah Takaful untuk anda.

Saya juga ada menawarkan pelan hibah Takaful mampu milik mengikut bajet anda iaitu pelan Ikhlas Dariku yang dikhususkan hanya untuk hibah sahaja. Dan pelan ini mempunyai manfaat-manfaat yang menarik. Sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut, tekan sini untuk dapatkan rundingan secara percuma daripada saya.